Tahukah ibu sebenarnya secara umum tubuh badan ibu menghasilkan susu kolustrum yang mencukupi untuk bayi ibu? (Macam tak percaya je kan, sebab bayi asyik nangis)
Namun kerana sifat kolustrum yang likat dan pekat serta teknik perahan tangan yang kerap dilakukan dengan salah menjadikan ibu hilang keyakinan diri bahawa sebenarnya mereka menghasilkan susu awal yang cukup untuk bayi mereka..
3 punca kenapa ibu kerap berfikir susu awal (kolustrum) yang dihasilkan tidak mencukupi:
Lekapan bayi di payudara ibu salah. Ibu berfikir bahawa asal bayi menghisap puting ibu itu adalah lekapan yang betul.
Bayi sebenarnya sudah pun menghisap di dalam rahim ibu seawal 20 minggu. Dan refleks menghisap ini menjadi semakin baik pada usia kehamilan ibu pada 27 minggu.
Namun menghisap dan melekap adalah dua hal yang berbeza. Lekapan di pengaruhi oleh posisi tubuh ibu, posisi bayi di payudara ibu, dan juga rongga mulut bayi.
Apabila lekapan salah, maka jumlah susu yang masuk ke dalam perut bayi juga sedikit.
Mulalah adegan kurang kencing, tak berak, berat badan yang terus turun, kuning yang mencanak dan pelbagai lagi.
Di sini terjadi kesalah fahaman bahawa susu ibu tak cukup.
Sifat susu awal (kolustrum) adalah pekat dan likat. Warnanya juga jauh lebih kuning kerana komposisi protein dan lemak yang tinggi di dalamnya.
Apabila ibu cuba menekan atau perah payudara, ia perlu di lakukan dengan betul untuk melihat hasil perahan. Sifatnya yang likat membuatkan ia tidak keluar memancut. Tetapi meleleh setitik demi setitik.
Sekiranya ibu berpisah dengan bayi sejurus selepas kelahiran, elakkan menggunakan pam susu ketika memerah keluar kolustrum. Perahlah menggunakan tangan. Bermula dari tak tahu, akan jadi tahu.
Pastikan ibu melakukan demahan panas dan diikuti dengan urutan pada payudara sebelum melakuka perahan tangan. Lakukan setiap 2 ke 3 jam sekali. Tadah kolustrum sama ada di dalam picagari mahupun bekas steril yang telah disediakan oleh pihak hospital.
Bayi menghisap kerap dan kerap menangis membuatkan ibu jadi hilang keyakinan bahawa susu mereka cukup.
Cuba lihat kapasiti perut bayi di bawah, ia sangat kecil. Air susu ibu tidak seperti susu rumusan. Kandungan "whey" dan "casein" kedua-dua susu ini berbeza sehingga tempoh penghadaman kedua jenis susu ini berbeza.
Susu ibu dihadam secepat 30 minit ke 90 minit,manakala susu rumusan lebih lama. Apabila kapasiti perut bayi yang boleh memuatkan jumlah yang kecil pada satu-satu masa dan air susu ibu sangat cepat tempoh penghadamannya, ini membuatkan bayi lebih cepat lapar kembali.
Selain daripada itu, bayi yang berubah alam dari alam rahim ke alam nyata membuatkan mereka memerlukan masa untuk membiasakan diri membuatkan bayi lebih selesa dengan "contact nap" terutama pada 14 hari pertama.
Perilaku bayi yang kerap di katakan mahu digendong, diletak sahaja menangis, kerap menyusu ini membuatkan ibu kerap hilang keyakinan bahawa sebenarnya mereka mampu melakukannya.
Sokongan ketika ini adalah penentu jalan awal penyusuan susu ibu.
Perahan ibu mungkin kelihatan sedikit, namun hisapan bayi pada payudara lebih efektif dan dapat mengeluarkan lebih banyak susu ibu.
Jangan keliru dan kecewa melihat hasil perahan. Ibu sebenarnya menghasilkan susu ibu lebih dari itu.
Rujukan :
- Scammon RE et al. (1920) Observation on the capacity of the stomach in the first ten days of ppstnatal life.
- Saint L et. Al (1984) The yield and nutrient content of colustrum and milk of women from giving birth to 1 month post-partum.
- Kent JC et al. (2006) Volume and frequency of breastfeedings and fat content of breast milk throughout the day.
Comments
Post a Comment